Perkongsian Bersama (hukum makan)





ARKIB : 03/06/2011
Hukum makan sarang burung
Soalan
SAYA adalah antara yang suka makan sup sirip ikan yu. Apakah hukum memakannya. Saya juga berminat untuk menjalankan ternakan burung walit. Apakah hukum makan sarang burung dan juga menjana pendapatan daripada aktiviti ini.
Jawapan
Harus memakan sup sirip ikan yu, kerana ia seperti memakan ikan juga. Ini kerana sirip itu adalah sebahagian dari ikan yu. Hukum memakannya adalah seperti memakan ikan.
Semua jenis binatang air (iaitu binatang yang tidak hidup melainkan di dalam air atau di dalam laut seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya), hukumnya halal dimakan selagi tidak beracun atau mendatang mudarat.
Ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a menceritakan jawapan Nabi apabila ditanya mengenai laut, baginda menjawab; "Laut; airnya bersih boleh dibuat bersuci dan bangkainya adalah halal." (riwayat al-Tarmidzi, Ibn Majah, Abu Daud).
Maksud bangkai daripada istilah al-Quran dan as-Sunnah adalah semua binatang yang mati tanpa disembelih.
Maka berdasarkan hadis ini, semua binatang laut adalah halal tanpa perlu disembelih terlebih dahulu.
Hadis ini adalah umum tanpa Nabi membataskan jenis haiwan tertentu yang hidup di dalam laut atau di dalam air. Jadi, ia termasuklah semua jenis ikan.
Menurut Imam Ibnu Hajar; "Tidak ada khilaf di kalangan ulama pada halalnya ikan dalam semua jenisnya" (Fathul-Bari). Mereka (yakni para ulama) hanya berikhtilaf pada selain ikan;
1. Menurut mazhab Hanafi; Hanya ikan sahaja yang halal dimakan. Adapun haiwan-haiwan laut/air lainnya haram dimakan.
2. Menurut Imam Ahmad; semua binatang laut/air halal dimakan kecuali dua sahaja iaitu; katak dan buaya.
3. Menurut mazhab Syafiie (mengikut qaul yang muktamad) dan mazhab Maliki; semua jenis binatang laut/air harus dimakan sekalipun rupanya menyerupai binatang darat (kuda laut, anjing laut, babi laut dan sebagainya).
4. Sebahagian ulama berpandangan; bagi binatang laut/air yang rupanya menyerupai binatang darat, hendaklah dilihat; jika ia menyerupai binatang darat yang halal dimakan, halallah ia dimakan.
Contohnya; kuda laut, lembu laut dan sebagainya (jika ada).
Adapun jika ia menyerupai binatang darat yang haram dimakan, maka ia haram dimakan.
Contohnya; anjing laut, singa laut, babi laut, gajah laut dan sebagainya. Pandangan ini menjadi pegangan sebilangan ulama mazhab Syafiie sendiri.
Sebagaimana disebutkan tadi, maksud binatang laut/air adalah yang tidak hidup melainkan di dalam laut atau air, di mana jika dikeluarkan daripada laut/air akan menjadilah hidupnya seumpama binatang darat yang disembelih (yakni hidup yang amat singkat).
Adapun binatang yang boleh kekal hidup di laut/air dan juga di darat, maka ia dinamakan sebagai binatang/haiwan dua alam.
Menurut mazhab Syafiie; semua binatang dua alam haram dimakan. Contohnya; katak, ular, buaya, kura-kura, penyu, belangkas dan sebagainya. Mazhab Maliki menghalalkannya.
Jika diteliti persoalan ini dari sudut fikah, tiada sebab yang mengharamkan makan sarang burung layang-layang.
Ini kerana, sarang itu terhasil dan diperbuat daripada liur burung layang-layang dan liurnya adalah suci.
Maka kembali kepada kaedah asas syarak: Asal kepada sesuatu perkara adalah halal, kecuali ada nas yang mengharamnya, dan kaedah yang lebih teliti adalah: Asal kepada benda-benda yang bermanfaat adalah haram, dan asal kepada benda yang memudaratkan adalah haram.
Sarang burung bukan najis. - Sarang burung tidak dipandang jijik/kotor oleh masyarakat (tidak seperti ulat, serangga dan lain-lain) Maka atas sebab itu, ia harus dimakan.
Mengenai sarang burung layang-layang (walit)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Memakan Sarang Burung Layang-Layang.
Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus.
Memandangkan hukum memakan sarang burung layang-layang harus maka memeliharanya juga hukum harus.
Ayat-ayat al-Quran telah banyak menyentuh mengenai tuntutan memakan makanan yang halal. Islam sama sekali tidak mengizinkan penganutnya memakan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada fizikal mahupun spiritual.
Ini kerana ada makanan yang halal tetapi ia belum tentu baik untuk tubuh badan kita, seperti gula, lemak yang berlebihan yang boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.
Islam mengajak umatnya mengekalkan kesihatan badan melalui pematuhan kepada makanan yang berkhasiat dan diet yang betul.
Perkara ini termasuklah persoalan memakan makanan yang belum pernah dimakan sebelum ini.
Contoh memakan sarang burung layang-layang bukan suatu kebiasaan masyarakat Malaysia, tetapi selepas mendapati ia (sarang burung layang-layang) dimakan oleh segelintir kecil masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran dengan gua, mula dikaji kelebihan dan khasiatnya sehinggalah hari ini sarang burung layang-layang ini berjaya menembusi pasaran global.
Sarang layang-layang ini menjadi tersohor apabila kajian dijalan ke atas sarang burung layang-layang dan mendapati ia sangat bermanfaat kepada tubuh badan manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah 168)
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (al-Baqarah: 172 )
Petikan dari:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Post a Comment

0 Comments