TANJUNG PIAI: TITIK PENGHUJUNG SELATAN BENUA ASIA


TANJUNG PIAI: TITIK PENGHUJUNG SELATAN BENUA ASIA

Satu tempat yang AM rasakan wajib dikunjungi dan dihayati kesenian khazanah alam semulajadi jika ke Johor adalah Tanjung Piai. Tanjung Piai terletak pada latitud 01.16 `Utara dan longitud 103.30.46 ` Timur.
MERCU TANDA
Sebuah mercu tanda telah dibina di sini bagi menandakan 'Tanah Terselatan Benua Asia' yang dibina pada 2001. Gentian konkrit mesra alam berukuran 20 m tinggi dan 10 m lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor. Warna kelabu pada mercu tanda Tanjung Piai menggambarkan kekayaan hutan paya bakau dan dataran lumpurnya.




Dua pelepah Paku Piai raya (acrostichum aureum) diukir di permukaan mercu tanda bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Paku Piai didapati tumbuh dengan banyaknya bersama dirian bakau di sini. Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar Tanah Terselatan Benua Asia , supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.

SEJARAH TANJUNG PIAI
Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai pokok paku piai. Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Hutan bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan tanah lembap Sungai Pulai.









Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur. Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini. Di sini dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.
Pokok bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan menghindari banjir, di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan, ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain. Burung-burung hijrah akan singgah di hutan bakau untuk berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang semula ke kawasan yang ditujui.



Kini, Tanjung Piai diisytiharkan sebagai Taman Negara memandangkan di sini terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna. Taman ini juga menjadi tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam.

Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. Kajiselidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.



Taman ini juga telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Ramsar mengambil sempena nama sebuah bandar di Iran yang menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung hijrah.
Sebelum masuk, tiket boleh didapati kaunter dengan RM5 bagi dewasa (RM10 bagi pelancong luar negara) dan RM3 bagi pelawat yang berumur bawah 18 tahun (RM5 bagi pelancong luar negara). Kemudahan asas yang disediakan di sini ialah surau, tandas, kawasan perkhemahan, kaunter penerangan dan tempat meletak kenderaan.

Setelah masuk ke kawasan taman, terdapat laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi. Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka. Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini.



Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.

KATA ALONG MURNI:

TANJUNG PIAI MERUPAKAN KAWASAN TARIKAN PELANCONGAN TERKENAL DI MALAYSIA. INI KERANA IA MERUPAKAN TANAH PALING SELATAN DI BENUA ASIA. JADI AM BERHARAP KEASLIAN KHAZANAH INI DAPAT DIKEKALKAN BERSAMA. SALAM AM YANG JAUH DI HUJUNG SELATAN BENUA ASIA.. WALAAAA..





Post a Comment

0 Comments