10 TEMPAT BERSEJARAH MENARIK WAJIB DILAWATI DI ALOR SETAR,KEDAH

10 TEMPAT BERSEJARAH MENARIK
 WAJIB DILAWATI DI ALOR SETAR,KEDAH


Kali ini Kembara Along Murni (AM) di Kedah di bawah kelolaan BORAKKITA dengan kerjasama TOURISM KEDAH, telah melawat 10 tempat bersejarah menarik dan AM rasa wajib dilawati jika singgah di Alor Setar, Kedah.

BALAI BESAR.



Balai Besar yang terletak di bandaraya Alor Setar, Kedah merupakan sebuah balai besar yang dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II (1710 – 1778) pada tahun 1735 dan berfungsi untuk mengendalikan upacara rasmi raja-raja dan kerajaan. Balai Besar Kedah dibina dengan gabungan keindahan senibina dan mempamerkan kehalusan kerja-kerja seni pertukangan yang mengkagumkan.

AM DI BALAI BESAR


Balai Besar Kedah dibina menggunakan kayu cengal emas dan ia merupakan bukti kehalusan dan kesenian pertukangan kayu Melayu. Ukiran berwarna keemasan dan cermin dari Cina pada bumbungnya dan mempunyai sejumlah 42 tiang utama yang diperbuat daripada kayu keras yang masih kukuh sehingga hari ini. Balai ini dibina dengan menggunakan bahan kayu untuk tiang, atap dan lantai.




Dua orang Sultan Kedah yang pernah ditabalkan secara rasmi di Balai Besar ini ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22 (1804-1845) pada tahun 1805 dan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Kedah ke-27 (1958-2017) pada 20 Februari 1959.


Kedudukan Balai Besar di tengah-tengah bandaraya Alor Setar dianggap sangat strategik kerana ia dikelilingi oleh banyak bangunan dan monumen bersejarah yang lain seperti Muzium Diraja Kedah, Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Balai Nobat, Balai Seni Negeri dan juga Masjid Zahir.
Bagi menjaga dan membaik pulih Balai besar ini ia di tutup sementara tetapi pelawat boleh mengambil gambar dari luar dan melawat Muzium Diraja Kedah cuma di belakang kawasan ini sahaja.

MUZIUM DIRAJA KEDAH.


Pintu gerbang menuju ke Muzium Diraja Kedah ini adalah bahagian asal yang di baik pulih dan AM sangat terkejut dan kagum bila melihat gambar-gambar lama di dalam muzium ini masih utuh dan terpelihara.




Muzium Diraja Kedah adalah sebuah bangunan istana lama yang pernah di diami oleh beberapa orang Sultan Kedah. Pelbagai nama diberikan seperti Istana Kota Setar, Istana Mak Wan Besar, Istana Pelamin atau Rumah Pelamin. Istana Ini siap dibina pada tahun 1735 ketika pembukaan Alor Setar sebagai pusat pentadbiran Negeri Kedah yang ke-8 oleh Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II (1710-1778).




Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Jepun pernah menduduki istana dan kemudiannya turut dijadikan ibu pejabat beberapa pertubuhan sebelum dibiar tanpa pemerhatian. Pada tahun 1983, istana ini dibaikpulih dan dijadikan Muzium Diraja Kedah sempena dengan perayaan menyambut Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan dirasmikan oleh baginda pada 25 julai 1983. Kandungan pameran di sini antara lain mengetengahkkan koleksi KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta koleksi yang diperoleh daripada kerabat Diraja Negeri Kedah.


Meriam-meriam antik dari zaman perang dahulu dan senjata yang di gunakan semasa perang turut dia pamerkan.


Bayaran Masuk
Percuma
Waktu Lawatan
Dibuka setiap hari 9.00 pagi hingga 5.00 petang
(kecuali jumaat tutup sementara 12.30 t/hari hingga 2.30 petang)

Alamat
Muzium Diraja, Medan Bandar,
Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Tel : 04-732 7937
Faks : 04-730 5182
.
BALAI NOBAT.




Pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943), bangunan baharu diperbuat daripada batu dan logam. Rekabentuknya sama seperti binaan kayu sebelumnya. Ia mempunyai tiga tingkat dan kubah yang terletak di kemuncaknya mencerminkan unsur keislaman seperti pada binaan masjid. Bangunan baru ini siap dibina pada tahun 1906.



Pada hari ini, Balai Nobat Kedah dijadikan tempat menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang hanya dimainkan pada upacara-upacara DiRaja seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian DiRaja.




Alat muzik Nobat terdiri daripada tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu gong dan satu serunai ini mampu menghasilkan satu gabungan bunyi yang mengasyikkan yang dikenali sebagai muzik nobat, satu bentuk lagu kebudayaan negeri Kedah.

BALAI SENI NEGERI.



Balai Seni Negeri Kedah terletak di tengah-tengah Medan Budaya, Alor Setar, Kedah, Malaysia. Senibina bangunan Balai Seni negeri Kedah ini banyak dipengaruhi oleh senibina Roman sama dengan bangunan yang terdapat di "Temple of Fortune Rivals".

Balai Seni negeri Kedah dibina pada tahun 1912 dan telah digunakan sebagai Mahkamah Tinggi sebelum ditukar menjadi pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri. Pada 25 Julai 1983, bangunan ini telah diisytiharkan sebagai Balai Seni Negeri Kedah Darul Aman oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Dataran Medan Bandar baru je dibuka atau nama lokasi Dataran Masjid Zahid.

Dataran Medan Bandar
Bangunan ini pada asalnya dibina khas untuk Mahkamah Besar pada tahun 1912 dan dibuka dengan rasminya oleh KDYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Bangunan ini merupakan bangunan kerajaan moden terawal dibina di bandar Alor Setar.

Ketua pembinaannya ialah Muhammad bin Lebai Thambi, arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri. Pembinaannya bermula pada 21 Januari 1893. Sempena perayaan menyambut Perayaan Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (1985-1983), bangunan ini dijadikan Balai Seni Negeri yang dirasmikan oleh baginda pada 25 Julai 1983 dan dibuka kepada orang ramai untuk dilawati.

Balai Seni Negeri menghimpunkan koleksi-koleksi hasil seni khasnya anak tempatan Kedah iaitu golongan pelukis veteren dan pelukis muda yang diantaranya telah berjaya mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa. Selain Seni Lukis, Seni Ukiran Kayu dan Seni Khat juga turut dipamerkan.

MASJID ZAHIR.


Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja.

Masjid Zahir merupakan mercu tanda yang terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam - satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan lima rukun Islam. Salah sebuah mercu tanda berseni bina di Kedah, Masjid Zahir tersergam indah sebagai bangunan contoh dengan seni bina Melayu-Islam. Dibina dalam tahun 1912, ia merupakan salah sebuah masjid tertua di negara ini.


RUMAH SERI BANAI DAN RUMAH TOK SU



Rumah Seri Banai dan Rumah Tok Su adalah warisan seni bina Kedah yang sudah berusia lebih 100 tahun dan terletak berhadapan dengan Wisma Pentadbiran Negeri (Wisma Darul Aman), kampung itu menempatkan Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai yang menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu.


Keistimewaan rumah-rumah ini juga terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar.



Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai kini menjadi lokasi untuk penyelidikan pelajar institut pengajian tinggi yang mengambil jurusan seni bina dan dokumentari sejarah melayu.



Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman,
Lebuhraya Darul Aman,
Bakar Bata,
05100 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.
Tel : 04-733 1162
Faks : 04-730 5100

MUZIUM PADI KEDAH



AM juga sempat singgah ke Muzium Padi yang berada di tengah-tengah kawasan jelapang padi dan berada di sebalik Gunung Keriang.

Senibina muzium ini sangat cantik dan unik menjadikan ia  menjadikan tarikan pengunjung menuju kesini. Ramai pelajar sekolah yang hadir untuk mengetahui lebih lanjut sejarah pada dan beras di Kedah dan serata dunia.



AM dapat melihat sendiri replika sawah padi terbentang yang berpusing 360 panorama keunikan kawasan Kedah dan sawah padi.


Pelbagai cenderahati untuk pengunjung membeli sebagai cenderamata kenang-kenangan dan kraftangan yang lain.


Banyak sangat tarikan terdapat di Muzium Padi ini. Pastikan muzium termasuk dalam senarai tempat wajib dilawati di Kedah. Banyak informasi berguna pasal padi dan beras yang buat AM kagum.. Yang penting, tak sangka plak AM berasal dari padi!! yelah dah ada beras padi jenis MURNI kan?? hehehhe.. 



Harga tiket : RM 5 (Dewasa)
Waktu lawatan : Setiap hari (9 pagi hingga 5 petang)


MUZIUM KOTA KUALA KEDAH
Muzium Kota Kuala Kedah merupakan terletaknya kubu pertahanan kerajaan negeri Kedah suatu masa dahulu dan sekarang di baik pulih bagi menjaga kesinambungannya. Terdapat tapak istana dan rumah api di sini.

Kota ini dibina menggunakan tanah liat, kayu bakau dan buluh dengan bantuan pihak Portugis. Pernah musnah akibat serangan dari Armada Acheh untuk menghalau keluar orang Portugis. Setelah diperbaiki, dimusnahkan sekali lagi oleh Armada Bugis.



Pelbagai info anda boleh baca dan melihat sendiri tempat bersejarah ini. Peluang ini memang harus di luangkan masa yang lama untuk kita hayati perjuangan zaman dahulu.



Rumah api ini dikatakan sumbangan kerajaan Thailand suatu masa dahulu bagi menampakkan perlabuhan Kuala Kedah


Muzium Kota Kuala Kedah kini dijadikan salah satu lokasi untuk pasangan bergambar. Memang banyak betul pasangan pengantin berada di sini dengan memakai sepasang lengkap baju pengantin berserta jurugambar. Hampir 10 pasangan yang AM jumpa ketika di sini.



AM juga dapati terdapat laluan boat nelayan keluar masuk di belah tepi untuk menurunkan hasil tangkapan.

Harga tiket : PERCUMA
Waktu lawatan :
Sabtu Hingga Khamis (9 pagi hingga 6 petang)
Ditutup pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji


ISTANA ANAK BUKIT

Istana Anak Bukit terletak di kawasan Anak Bukit atau changkat yang tinggi sedikit di atas sebuah pulau kecil yang dibentuk daripada Sungai Anak Bukit dan Sungai Kuala Cegar, terdirinya sebuah lagi mercu tanda yang melambangkan kedaulatan Kesultanan Negeri Kedah. Istana Anak Bukit merupakan tempat bersemayam keluarga DiRaja iaitu KDYMM Tuanku Sultan Kedah sekeluarga. Di pintu pagar hadapan masuk istana tersebut, terpampang lambang mohor DiRaja dan dibarisi pokok-pokok hujan sepanjang jalan masuk ke dalam istana.
                                                                                          


Anak Bukit ialah sebuah bandar diraja di Kawasan Parlimen Kuala Kedah di negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Anak Bukit merupakan sebuah pekan yang terletak berhampiran dengan Alor Merah dan Kepala Batas.

Istana Anak Bukit merupakan kediaman rasmi Sultan Kedah iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah. Baginda dilahirkan pada 30 April 1942 dan telah ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-28 sejak 12 September 2017.

Istana Anak Bukit  telah mejalani ubah suai sebanyak RM70 juta sempena dengan perayaan ulang tahun ke-50 semasa pemerintahan Sultan Kedah pada tahun 2008. Ubah suai ini bermula pada Februari 2009, merangkumi pembangunan gedung baru yang bakal menempatkan khalayak baru dan ruang makan yang boleh menampung sehingga 1,400 orang pada satu masa menggantikan jumlah khalayak maksimum sedia ada dan ruang makan yang hanya boleh menampung kurang daripada 1,000 orang. Bangunan ini selesai ubah suainya pada bulan Oktober 2007.


Aliran sungai yang disebut sungai Anak Bukit mengalir di bahagian belakang bangunan Istana ini dan mengalir melalui Alor Star, Kedah dihubungkan oleh Sungai Kedah ke muara Kuala Kedah.
Rancang semua perjalanan anda ke utara dan pastikan anda bergambar-gambar di setiap lokasi menarik nanti.

KATA ALONG MURNI

KEDAH MENGANDUNGI PELBAGAI KHAZANAH WARISAN NEGARA
 YANG PENUH DENGAN NILAI TINGGI. 
PELBAGAI MESEJ, INFORMASI DAPAT DIPELAJARI SEPANJANG
 BERADA DI KEDAH. 
DI SAMPING PENUH DENGAN KEUNIKAN DAN
 KEASLIAN YANG MASIH DIPELIHARA,
 KESINAMBUNGAN SEJARAH ANAK MALAYSIA 
HARUS DITANAM DALAM SETIAP JATI DIRI.
 SIAPALAH KITA TANPA PENGORBANAN DAN KESUSAHAN ORANG TERDAHULU DEMI KEDAMAIAN HARI INI.
 JUTAAN TERIMA KASIH BUAT EN ZAINIZAM ZAINUN KERANA 
MEMBERI BANYAK MESEJ DAN INFORMASI SEPANJANG 
KEMBARA AM DI NEGERI KEDAH



Post a Comment

1 Comments