Wednesday, 5 September 2018

5 DESTINASI MENARIK DI PERLIS


5 DESTINASI MENARIK DI PERLIS


Pengembaraan AlongMurni (AM) di Negeri Perlis anjuran Borakkita dengan kerjasama Perlis Nature Wildlife (PNW) tiba di lima (5) destinasi menarik yang AM rasakan wajib dikunjungi bersama keluarga, berkumpulan mahupun sahabat handai.

GUA KELAM



Destinasi pertama AM adalah di Gua Kelam. Dengan bantuan Pegawai Taman Negeri Perlis bersama dengan PNW, AM dan team memulai mejelajah Gua Kelam bermula dengan Gua Kelam 2. Untuk pengetahuan semua, Gua Kelam 2 ini masih ditutup buat sementara untuk tujuan pembaikan. Jadi ia merupakan satu penghormatann kerana AM dan team diberi keizinan masuk untuk menerokai keistimewaan dan keunikan yang terdapat di Gua Kelam 2.


laluan menuju Gua Kelam 2
AM di dalam Gua Kelam 2
Gua Kelam 2 yang berada tidak jauh dari pintu masuk Gua Kelam 1 merupakan tapak lombong bijih timah yang lebih luas. Laluan sebenar Gua Kelam 2 ini kira-kira 2km. Laluan perlombongan Gua Kelam 2 ini hanya dapat dilawati dengan berjalan kaki.

Gua Kelam merupakan gua batu kapur yang terletak di banjaran Nakawan di kawasan Kaki Bukit, kira-kira 33km dari Kangar, Perlis. Gua Kelam adalah satu tempat perlombongan timah pada suatu masa dulu. Nama gua ni berasal dari kegelapan (kelam) dalam gua itu sendiri yang menyebabkan pelombong-pelombong dulu terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi laluan dalam gua sepanjang menjalankan aktiviti perlombongan.




Dalam laluan Gua Kelam 2 ini, AM dapat melihat sisa-sisa peninggalan aktiviti melombong pada masa dahulu seperti tuil, kawasan mendulang, tempat tidur dan puing-puing kayu. Terdapat juga tulisan-tulisan bebahasa Mandarin yang ditulis pelombong-pelombong yang bermaksud “hal yang baik tidak selalu berlaku”, mungkin mengisahkan kisah cinta yang tidak kesampaian, atau pesanan untuk keluarga yang ditinggalkan.

khazanah di Gua Kelam 2


Para pelombong dulu kebanyakan terdiri daripada pelombong berbangsa Cina. Menurut salah seorang bekas pelombong,kebiasaannya pelombong akan berada di dalam gua selama sebulan. Mereka makan, minum dan tidur di dalam gua yang gelap itu dan beberapa hari sahaja dibenarkan keluar untuk bersama keluarga. Ini kerana sesetengah kawasan perlombongan terletak jauh ke dalam gua yang memerlukan masa perjalanan masuk dan keluar sehingga lima atau enam jam. Mereka terpaksa menempuh lubang bekas lombong, meniti kayu dan menyeberang sungai. Disebabkan kesukaran itu, banyak pekerja memutuskan untuk tinggal sahaja di dalam gua itu.

Kehidupan manusia pelombong itu juga tidak ubah seperti kelawar yang menghuni gua yang gelap tanpa cahaya matahari. Mereka menggunakan generator untuk menyalakan lampu, namun bagi kawasan yang lebih jauh ke dalam, mereka memakai lampu karbaid. Wanita pelombong melakukan tugas ringan seperti memasak dan mendulang bijih. Manakala kaum lelaki membuat kerja berat seperti mengangkat, mengetuk atau memecahkan batu dan membina landasan troli.

Pintu masuk Gua Kelam 1
Buat sementara  penduduk tempatan dan pelancong boleh memasuki Gua Kelam 1 melalui laluan yang diperbuat daripada kayu sepanjang 370m. Laluan yang berada di atas aliran sungai gua ini disinari cahaya lampu dan di sepanjang perjalanan  dan masih dapat menemui tapak aktiviti perpindahan bijih besi di dalam gua.

MUZIUM KOTA KAYANG

Kemudiannya AM meneruskan pengembaraan AM ke Muzium Kota Kayang. Muzium Kota Kayang merupakan sebuah muzium yang terletak bersekitaran Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran terusan buatan manusia yang tertua di Semenanjung.



Muzium Kota Kayang di Kuala Perlis merupakan satu kompleks sejarah yang popular di Perlis. Muzium Kota Kayang menawarkan pelbagai maklumat mengenai sejarah Perlis.

Terdapat pameran tinggalan akhaeologi dan sejarah dari kapak batu Neolithik, senjata, barangan tembaga, siling, replika dokument, dan carta keturunan diRaja. AM juga dapat melawat laman muzium di mana terdapat tapak Kota Indera kayangan, istana, dan dewan istiadat silam.
Muzium Kota Kayang terletak di kaki bukit batu kapur yang bertindak sebagai halangan dari serangan musuh, sementara terdapat terusan yang pernah menjadi laluan bot antara Kota Kayang, Kuala Perlis, dan Alor Setar.



Terdapat enam galeri di muzium ini iaitu Galeri Sejarah yang menceritakan sejarah negeri Perlis, Galeri Arkeologi yang mempamerkan hasil penyelidikan Kota Kayang, penemuan arkeologi pada zaman protosejarah dan prasejarah di Perlis, Galeri Senjata yang mempamerkan kepelbagaian koleksi senjata, Galeri Kebudayaan memaparkan aspek berkaitan kebudayaan di sekitar negeri Perlis, pelbagai koleksi yang pernah diterima oleh para Menteri Besar Perlis dipamerkan di Galeri Menteri Besar serta Galeri Diraja yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad s.a.w dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai koleksi yang menarik.

NAT POKOK GETAH

kredit gambar dari Utusan Online

Destinasi ke 3 pengembaraan AM ini agak unik dan menarik iaitu Nat Pokok Getah. Nat bermaksud pasar pagi dalam loghat utara. Di namakan sebagai Nat Pokok Getah adalah kerana pasar pagi ini terletak didalam kebun getah dan terbahagi kepada dua bahagian kiri dan kanan jalan. Ia dibuka pada setiap hari Ahad dari jam 7 pagi sehingga jam 12 tengah hari. Ia Menghimpunkan lebih daripada 300 peniaga dengan pelbagai jenis barangan yang diniagakan.


kredit pic: Bebelan Cik Meen

Kredit Pic: Bebelan Cik Meen


Oleh kerana nat ini dibuat dibawah rimbunan pohon - pohon getah, maka suasana yang redup dari panas matahari membuatkan terasa lebih nyaman untuk membeli belah. Bagi AM, Nat di sini memang sebuah pasar yang unik dan menarik.

TAMAN NEGERI PERLIS



Seterusnya AM dibawa oleh pihak PNW ke Taman Negeri Perlis. Taman Negeri Perlis merupakan taman negeri yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Malaysia iaitu pada tahun 1997 dan diwartakan pada 3 Julai 2008. Ia terletak di sebahagian H.S. Mata Ayer dan H.S. Wang Mu dengan keluasan 4,379.81 ha. Taman Negeri Perlis terletak di sebelah barat negeri Perlis dan mengunjur di atas banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia (38 km) yang dikenali sebagai Banjaran Nakawan.

Keunikan Taman Negeri Perlis bukan hanya pada flora dan fauna yang endemik iaitu pokok Bogak (Cycas clivicola) sejenis tumbuhan zaman purba dan Beruk kentoi (Macaca arctoides) yang masih boleh ditemui di kawasan Taman Negeri Perlis, tetapi termasuk formasi geologi kawasan itu sendiri. Sebahagian besar bukit-bukit batu kapur yang terdapat di sepanjang Banjaran Nakawan adalah terdiri daripada Formasi Setul yang tertua di Malaysia dan dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun.
Selain itu terdapat juga tempat-tempat lain yang menarik dan boleh dikunjungi oleh pengunjung di Taman Negeri Perlis seperti Gua Wang Burma, Pekan Pelancongan Wang Kelian, Bukit Pelarit, Bukit Rongkit, Denai Warisan, Denai Putera Denmark, Tasik Meranti, kawasan menara pandang dan Gunung Perlis. Di samping itu, terdapat dua buah penempatan yang berhampiran dengan Taman Negeri Perlis iaitu Kampung Wang Kelian dan Pekan Kaki Bukit.

Satu hasil usaha yang AM kagumi dari pihak Taman Negeri Perlis demi keselesaan pelancong dan pengunjung yang datang adalah menyediakan kemudahan seperti asrama, dewan seminar, chalet, surau, tandas, wakaf, tapak perkhemahan, menara pandang, dewan terbuka dan kantin. Taman Negeri Perlis menawarkan pelbagai aktiviti, antaranya adalah menjelajah gua, memerhati burung, menjelajah denai, fotografi, intepretasi denai, berjalan malam, berkhemah, pendidikan alam semula jadi dan mendaki gunung. Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menikmati suasana dan pemandangan yang menarik daripada sungai dan gua batu kapur yang terdapat di sini.

Taman Negeri Perlis beroperasi sepanjang waktu dan dibuka kepada pengunjung harian pada setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Taman ini dikendalikan oleh lapan orang pekerja dari JPNPs

TAMAN ULAR DAN REPTILIA NEGERI PERLIS



Destinasi teakhir AM ini agak menggerunkan AM. Dah macam-macam dalam kepala AM bila menjejak kaki ke Taman Ular dan Reptilia Negeri Perlis. Taman Ular dan Reptilia Negeri Perlis merupakan satu-satunya taman ular seumpamanya di Malaysia. Di sinilah terdapatnya pelbagai spesis ular yang boleh dilihat di ruang pameran tertutup mahupun di ruang terbuka. Ia memberi peluang kepada pengunjung seperti AM untuk mendekati haiwan eksotik ini dengan lebih dekat dalam suasana yang hampir sama dengan habitat asalnya.




Terdapat kira-kira 150 ekor ular dari 34 spesies di taman ini. 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies dari luar negara. 10 spesies ular di taman ini adalah jenis yang berbisa dan selebihnya tidak berbisa. Di antara jenis ular yang terdapat di taman ini ialah ular sawa, ular tedung selar, ular tedung senduk, ular ekor merah, ular kapak bakau, ular rusuk kerbau dan ular katam termasuk katam tebu dan katam payung serta punti. Paling berbisa ialah ular tedung senduk sembur. Ular paling berat ialah ular sawa seberat 80kg dan panjang 23 kaki.

nampak macam berani AM pegang ular tue di tangan padahal kaki dah menggeletar bagai!!
bila ular tedung selar tue tenung, AM menyorok je belakang eddy rush.. Takut woooo..
AM berpeluang melihat pertunjukan secara Live oleh Saudara Hafiz yang sangat mengagumkan AM. Nak tau kenapa?? Haaaa.. Saudara Hafiz ini telah mencium ular tedung selar yang masih berbisa tau!! Pejam mata jap AM melihat aksinya. Beliau juga menunjukkan cara membuang bias ular. Beliau juga sempat berkongsi cerita tentang tragedi yang menimpa beliau enam tahun lepas. Beliau telah dipatuk ular tedung dan bisanya telah memakan dan meninggalkan kesan pada lengan beliau. Namun AM sangat kagum kerana kejadian yang menimpa beliau sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berkecimpung dalam bidang yang sangat diminati beliau ini.
AM sempat rakamkan aksi beliau dan kongsikan di media sosial. Boleh tengok video di bawah yea.  




Bayaran masuk
Dewasa: RM5.00
Kanak-kanak (5-12 tahun): RM2.00
Kanak-kanak (bawah umur 5 tahun): Percuma
Kamera: RM1.00
Kamera video: RM2.00

KATA ALONG MURNI

5 DESTINASI MENARIK INI WAJIB DIKUNJUNGI
 JIKA SINGGAH KE NEGERI PERLIS.
BANYAK INFORMASI TENTANG SEJARAH, KEJADIAN-KEJADIAN
 YANG MENGUJAKAN DAN PENGALAMAN YANG SANGAT BERHARGA
 UNTUK DIBAWA BALIK.
PERLIS INI MEMANG INDAH DENGAN SEJARAH DAN 
KEUNIKANNYA YANG TERSENDIRI.
 TAK SABAR RASANYA AM INGIN BERKUNJUNG LAGI 
BERSAMA KELUARGA DAN SAHABAT HANDAI!!

25 comments:

Asyiqin Roslee said...

Dah lama tak pergi perlis.. Banyak juga tempat2 menarik ni ya..

Lisa Nurulain said...

ular tu takpe ke di lepas mcam tu.? serammm

ALONG MURNI said...

Masa buat pertunjukan dilepaskan dan diawasi oleh yg pakar.. selesai pertunjukan dimasukkan kembali di dalam kotak..

Eintan Nurfuzie said...

Dh lama x pi perlihhhh.. kena pi gak bl tgk tmptw menarik ni

Ezna Ahmad Khalili said...

Dalam banyak2 tempat ni tak pernah lagi pergi Nat Pokok Getah tu. Nampak menarik juga pasar pagi kat dalam pokok getah. Unik sungguh. Paling best sebab mesti teduh je di bawah pokok tinggi2 tu kan?.

bae best gadget said...
This comment has been removed by the author.
bae best gadget said...

tempat yang menarik untuk dilawati . nice sharing .

https://besttipsforblog2u.blogspot.com/

syiera firdaus said...

Banyaknya tempat menarik ye. Boleh dijadikan wishlist. Nanti nak buat trip ke sana la

Lia Hasty said...

Kalau pergi perlis memang tau makanan ikan bakar sedap je. Tempat lain x singgah pun .Gua kelam selalu juga pergi dgn families. Gua kelam 2 macam menarik je tu.

Qisstiera Lifestyle said...

kampung Qiss tu..best kan berjalan kat perlis nun.. ular tedung tu seram

Mrs Liez said...

Gua kelam mmg wajib pergi klau g perlis.tp duk pergi dulu2 gua kelam 1 kot. satu lg taman ular tu.

Zharif Azis said...

Wahhh seronoknya AM menjelajah bumi Perlis ya. Teringinnya nak pergi sana. Nanti nak guna itinerary AM lah utk ke negeri Perlis. Nampak menarik betul tempat2 yg dilawati

Mama Hakim said...

Wah sampai masuk dalam gua, emmang semanat betul nak jalan jalan makan angin ni

Emilinda said...

Uuuu bestnya korang berjalan. Siap masuk gua lagi. Satu pengalaman yg jarang2 nak dapat. Emi belum pernah ada pengalaman masuk ke gua lagi

idayu nim said...

Wow best nyer dpt terOka tempat org kan. Tapi plg x sggup pegi muzium ular tu..hadoiii lemah smgt tgk

Nik Khazami Nik aziz said...

taman ular tu best juga kalau dapat pergi. walaupun takut dgn ular, tapi rasa macam nak tgk dgn lebih dekat

Ika Sani said...

Ika lima tahun study sini. Pernah pergi taman ular je hehe. Jarang explore perlis. Kalau makanan best sbb byk food thailand masuk.

Ibu Syurga said...

Perlis pun ada banyak lokasi menarik untuk percutian juga kan tuan. Saya jarang tau pasal perlis

Nasa Azman said...

Memang nampak macam menarik semua destinasi yang di beri ni. CUma nak memandu ke utara tu tak rajin. Haha

Zayani Zulkiffli said...

Antara banyak gua kat Malaysia, Gua Kelam yang saya teringin nak pergi tapi tak sampai lagi.

Eintan Nurfuzie said...

Cik en dlu sek kat perlis.. kt bintong. Dlu xde pe sgt.. dan x smpt nk gi tempat2 cmni. Skrg rsnya dah mampu nk gi tempat2 best ni. Cume xde kawan nak gi sekali.. makan kat sana pun org kata sedap2 sedap belaka. Kena set juga la holiday kt sna

Abby Onety said...

Perlis ini perbatasan Thailand-Malaysia kan? Abby pernah kesana tp tak banyak destinasi yg dikunjungi. Hanya transit sj di alor dan lanjut hat yai. Semoga lain waktu boleh mampir

Seriwangi said...

Bestnya murni dpt terokai gua2 di Perlis, klu kak xberani nk msk Gua sbb gelap..tgk ular reading Tu pun tkt jgk sbb ular ni Ada bahaya skt.

Mawardi Yunus said...

banyak betul rupanya destinasi-destinasi menarik di perlis. saya sendiri tak pernah berkesempatan nak teroka bumi perlis ni. ke perlis pun sebab ke jetty untuk pergi langkawi je. hope satu hari nanti will be there. Insyaallah

Illya LeYa said...

Dah lama tak ke Perlis. Tempat jatuh lagi dikenang. 3tahun jadi anak perantau di sana. Memang byk tempat menarik yg sempat singgah.. Wahhh...mesti dah lagi best ni kan..