PUSING SELANGOR DULU’ TRAVEL HUNT 2022

 

PUSING SELANGOR DULU’ TRAVEL HUNT 2022

MENONJOLKAN KEUNIKAN PRODUK PELANCONGAN DI DAERAH HULU LANGAT

 

Kali ini AlongMurni berkesempatan untuk turut sama dalam ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 bertempat di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi. Sebenarnya, program ini adalah insiatif dari Kerajaan Negeri Selangor menerusi Agensi Promosi Pelancongan Rasmi, Tourism Selangor buat kali pertamanya telah menganjurkan ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 Edisi Hulu Langat yang dijalankan pada 25 Jun 2022, bermula di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi ke sekitar tarikan produk pelancongan menarik di daerah Hulu Langat.

 

Acara ini merupakan acara pertandingan penjelajahan berkereta secara berkumpulan di mana peserta perlu mencari lokasi – lokasi ‘Travel Hunt’ yang telah ditetapkan berpandukan maklumat – maklumat yang diperoleh untuk menyelesaikan soalan dan tugasan di sepanjang laluan perlumbaan. Seramai 280 peserta yang merangkumi 70 pasukan menyertai edisi pertama penganjuran travel hunt pada kali ini.

 


Dengan tema “Pusing Selangor Dulu”, penganjuran acara ini adalah bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan penganjuran acara pelancongan di negeri Selangor khususnya di setiap daerah Hulu Langat. Secara tidak langsung, ianya dapat mempromosikan aktiviti dan produk pelancongan beraskan “Experiential Tourism” dan berasaskan komuniti yang terdapat di setiap daerah di Negeri Selangor.

 


Seiring dengan konsep “Travel Hunt”, setiap peserta berkumpulan, mereka bergerak menggunakan kereta yang merangkumi 4 orang dalam 1 kumpulan. Jangka masa perlumbaan adalah selama 6 jam, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Dalam format disiplin pula, para peserta diberikan soalan ‘Hunt’ dan beberapa tip perjalanan perlumbaan di beberapa lokasi ‘check point’ disekitar daerah Hulu Langat. Lokasi ‘mula’ dan ‘tamat’ perlumbaan adalah di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, manakala beberapa kawasan dan tempat pelancongan menarik yang mereka lawati adalah seperti Agro Goat Farm Sungai Kantan, Pasar Sari Pekan Beranang, Lady Bird Organic Farm Semenyih, Kampung Orang Asli Donglai Baru, Sate Rono dan banyak lagi.

 



En Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Saya yakin, penganjuran acara Pusing Selangor Dulu Travel Hunt yang buat kali pertama dianjurkan ini akan dapat menarik-minat orang ramai, khususnya penggemar aktiviti pelancongan, serta tarikan ‘Experiential Tourism’ dan keunikan daerah Hulu Langat yang menjadi kebanggaan kita bersama. Acara ini juga dapat menaikkan reputasi destinasi pelancongan Negeri Selangor dengan membantu penggiat industri pelancongan lokal di Hulu Langat mempromosikan produk pelancongan mereka.”

 

“Negeri Selangor mempunyai 9 daerah dan 12 PBT (kawasan pihak Berkuasa Tempatan) yang mempunyai keunikan pelancongannya yang tersendiri bagi memberi sebuah pengalaman pelancongan secara total, dengan tumpuan kepada perkhidmatan dan layanan mesra kepada para pelancong serta kepelbagaian segmentasi pelancongan. Kita bermula di daerah Hulu Langat dan akan diteruskan ke daerah yang lain di Negeri Selangor.”, tambah Azrul Shah.

 

Acara Pusing Selangor Dulu Travel Hunt 2022 Edisi Hulu Langat pada kali ini mendapat kerjasama yang baik daripada Hikers Training N Consultant, Kompleks PKNS Bangi, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Selangor sebagai penganjur bersama.

 


Untuk   maklumat   lanjut   tentang   industri pelancongan di Negeri Selangor boleh layari www.selangor.travel .

Post a Comment

0 Comments