MATRADE MERAIKAN PENGALAMAN 40 TAHUN METAHOVER

 


MATRADE MERAIKAN PENGALAMAN 40 TAHUN METAHOVER

DALAM PEMASANGAN SEMIKONDUKTOR UNTUK MENARIK PELABUR ASING

DAN MENINGKATKAN NILAI EKSPORT NEGARA

 

Pada 14 September 2022 yang lalu, AlongMurni (AM) telah hadir ke Menara MATRADE, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Kompleks Kerajaan, 50480 Kuala Lumpur bagi satu majlis pelancaran rasmi METAHOVER. Sepanjang majlis ini, MATRADE telah meraikan pengalaman 40 tahun METAHOVER dalam pemasangan semikonduktor untuk menarik pelabur asing dan meningkatkan hasil eksport negara.  

 

Dalam majlis ini juga, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PERBADANAN PEMBANGUNAN PERDAGANGAN LUAR MALAYSIA (MATRADE), YBHG. DATUK MOHD MUSTAFA ABDUL AZIZ menyaksikan pelancaran rasmi METAHOVER, hasil daripada perkongsian bersama di antara pengilang alat keluli berketepatan tinggi tempatan, Metalmach Micro Technology (MMT) dan pembekal bahan bantuan dari China, Future Hover Industrial Co., Ltd (Future Hover) yang bernilai RM1 billion, mensasarkan pulangan sehingga RM1 billion setiap tahun dalam hasil eksport dalam masa 10 tahun.

 


METAHOVER menyediakan perkhidmatan secara keseluruhan dalam pembuatan wafer, pemasangan, dan pengujian semikonduktor di Malaysia. Bersama Future Hover, syarikat terbabit mampu meminimumkan kos untuk pemasangan semikonduktor tanpa menjejaskan kualiti, maka, menjadikan Malaysia destinasi pilihan untuk pengeksportan semikonduktor di Asia Tenggara. 



Digabungkan dengan pengalaman MMT selama 40 tahun dalam industri, usahasama ini pasti akan menarik minat pelabur asing dan pembekal antarabangsa untuk mendapatkan peralatan dan aksesorisnya yang mampu milik dan dipercayai di Malaysia. 

 


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), Pn. Sharimahton Mat Salleh berkata, “Jentera dan Kelengkapan ialah industri yang penting kepada Malaysia. Sektor ini merupakan sektor eksport yang ketujuh terbesar, bernilai RM49.9 billion, mewakili 4 peratus dari eksport keseluruhan Malaysia pada tahun 2021. Jentera dan peralatan yang digunakan dalam penghasilan semikonduktor, peralatan dan aksesori merupakan segmen eksport terbesar, bernilai RM8.8 billion atau 17.5 peratus dari keseluruhan eksport Jentera dan Kelengkapan pada tahun 2021, manakala dalam tujuh bulan pertama 2022, eksport Jentera dan Kelengkapan Malaysia mencapai RM34.4 billion, peningkatan 25.5 peratus dari tahun yang lepas, bagi tempoh yang sama.”

 

Beliau menambah, “Dengan pengalaman 4 dekad Metalmach Micro Technology dalam pembuatan berketepatan tinggi dan acuan, kami percaya syarikat ini berkemampuan untuk menghasilkan peralatan dan komponen mesin berkualiti tinggi yang digunakan dalam pelbagai sektor seperti semikonduktor, peralatan perubatan, automotif, aeroangkasa, Elektrik & Elektronik dan industri-industri lain. Reputasi ini menarik minat perniagaan luar negara untuk bekerjasama.”

 

Selain itu, METAHOVER juga akan membangunkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengkaji trend pengilangan semikonduktor demi meningkatkan dan menginovasi proses penghasilan. Ianya amat penting kepada METAHOVER untuk sentiasa berada selangkah ke hadapan supaya Malaysia semakin maju dalam pasaran global industri ini di masa akan datang.

 


Pengarah Operasi Metalmach Micro Technology, En. Low Kim Yoong berkata, "METAHOVER berdiri megah dalam pembekalan semikonduktor kerana kami berbeza dengan pesaing kami. Kami bukan sahaja mampu mengendalikan setiap proses pemasangan semikonduktor, kami juga mampu menawarkan harga paling kompetitif di dunia, tanpa menjejaskan kualiti. Pada masa ini, kemudahan memainkan peranan penting untuk mendapat kelebihan dalam persaingan, dan mandat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan secara keseluruhan demi membantu pembekal tempatan dan antarabangsa melalui solusi setempat iaitu METAHOVER."

 

Post a Comment

1 Comments

  1. Tahniah MMT dan Future Hover... Semoga industri semakin maju dan membuatkan negara kita bertambah maju

    ReplyDelete