TANJUNG PIAI: TITIK PENGHUJUNG SELATAN BENUA ASIA
Satu tempat yang AM rasakan wajib dikunjungi dan dihayati
kesenian khazanah alam semulajadi jika ke Johor adalah Tanjung Piai. Tanjung
Piai terletak pada latitud 01.16 `Utara dan longitud 103.30.46 ` Timur.
MERCU TANDA
Sebuah mercu tanda telah dibina di sini bagi menandakan
'Tanah Terselatan Benua Asia' yang dibina pada 2001. Gentian konkrit mesra alam
berukuran 20 m tinggi dan 10 m lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor.
Warna kelabu pada mercu tanda Tanjung Piai menggambarkan kekayaan hutan paya
bakau dan dataran lumpurnya.
Dua pelepah Paku Piai raya (acrostichum aureum) diukir di
permukaan mercu tanda bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Paku Piai
didapati tumbuh dengan banyaknya bersama dirian bakau di sini. Tanjung pula
bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang
terpapar menjelaskan kedudukan sebenar Tanah Terselatan Benua Asia , supaya
dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.
SEJARAH TANJUNG PIAI
Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang
dikenali sebagai pokok paku piai. Hutan bakau yang luas di sini digazetkan
sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Hutan
bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan
tanah lembap Sungai Pulai.
Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526
hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur.
Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini. Di sini dikatakan terdapat
lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.
Pokok bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan
menghindari banjir, di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan,
ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain. Burung-burung
hijrah akan singgah di hutan bakau untuk berehat dan mendapatkan makanan
sebelum terbang semula ke kawasan yang ditujui.
Kini, Tanjung Piai diisytiharkan sebagai Taman Negara
memandangkan di sini terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan,
hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna. Taman ini juga menjadi
tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti
ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam.
Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai
adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan
Jabatan Perhutanan. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor
sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. Kajiselidik ekologi telah
dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun
2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman
Negara Johor pada 26 Februari 2004.
Taman ini juga telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31
Januari 2003. Ramsar mengambil sempena nama sebuah bandar di Iran yang menjadi
tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama
pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah
lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung
hijrah.
Sebelum masuk, tiket boleh didapati kaunter dengan RM5 bagi
dewasa (RM10 bagi pelancong luar negara) dan RM3 bagi pelawat yang berumur
bawah 18 tahun (RM5 bagi pelancong luar negara). Kemudahan asas yang disediakan
di sini ialah surau, tandas, kawasan perkhemahan, kaunter penerangan dan tempat
meletak kenderaan.
Setelah masuk ke kawasan taman, terdapat laluan khas berupa
jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi.
Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing.
Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka.
Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca
cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini.
Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti
dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di
pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa
di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.
KATA ALONG MURNI:
TANJUNG PIAI
MERUPAKAN KAWASAN TARIKAN PELANCONGAN TERKENAL DI MALAYSIA. INI KERANA IA
MERUPAKAN TANAH PALING SELATAN DI BENUA ASIA. JADI AM BERHARAP KEASLIAN
KHAZANAH INI DAPAT DIKEKALKAN BERSAMA. SALAM AM YANG JAUH DI HUJUNG SELATAN
BENUA ASIA.. WALAAAA..
0 Comments